|
KEMENTERIAN Pelajaran tetap melarang
pelajar menggunakan telefon bimbit di sekolah walaupun wujud
kes telefon berkenaan dikatakan `berguna' kerana menjadi bahan
bukti dalam satu kejadian buli di sebuah sekolah menengah
di Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Noh
Omar berkata, keputusan kementerian jelas bahawa telefon bimbit
akan dirampas jika pelajar menggunakannya dalam kawasan sekolah.
Namun begitu beliau tidak menafikan bahawa berlaku kes pelajar
`menyeludup' telefon bimbit ke sekolah.
Ini memang berlaku, terutamanya
jika ada aktiviti kokurikulum dan kita percaya kejadian pelajar
membawa masuk telefon bimbit di sekolah terbabit tidak diketahui
oleh pihak sekolah,' katanya. Beliau juga tidak menolak kemungkinan
banyak pelajar berasrama penuh yang membawa telefon bimbit
ke sekolah masing-masing.
Tetapi seperti yang telah kita
tegaskan bahawa guru mempunyai kuasa untuk merampas telefon
itu jika pelajar didapati menggunakannya dalam kawasan sekolah,'
tegas beliau. Dalam kejadian buli di sebuah sekolah di Kota
Tinggi itu, seorang pelajar telah merakam kejadian pelajar
tingkatan satu yang dibelasah oleh seorang pelajar lain.
Rakaman yang dibuat melalui telefon
bimbit itu berjaya dikesan apabila guru di sekolah merampas
telefon berkenaan setelah menahan sekumpulan pelajar yang
sedang asyik menonton rakaman tersebut. Penggunaan telefon
bimbit di sekolah pernah menjadi isu sehingga Kementerian
Pelajaran menarik balik kebenaran penggunaan telefon bimbit
di semua sekolah termasuk berasrama penuh serta merta.
Keputusan itu dibuat kerana kementerian
mendapati guru dan ibu bapa tidak bersedia memikul tanggungjawab
serta me-mantau penggunaan telefon bimbit oleh pelajar di
sekolah. Sebelum itu, kementerian berkenaan pernah mengeluarkan
arahan pada Januari lalu membenarkan para pelajar menggunakan
telefon bimbit di sekolah berkuat kuasa secepat mungkin.
Kebenaran itu bagaimanapun tertakluk
kepada syarat-syarat dalam Garis Panduan Penggunaan Telefon
Bimbit Oleh Murid Sekolah yang dikeluarkan oleh Kementerian
Pelajaran. Mengikut kenyataan itu, pelajar hanya dibenar menggunakan
telefon bimbit sebelum waktu persekolahan bermula, semasa
waktu rehat dan selepas sesi persekolahan tamat.
|